Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi lebih rendah apabila para pelabur menjual saham wajaran tinggi mereka di tengah-tengah prestasi serantau yang lemah.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.99 mata kepada 1,619.19 berbanding 1,629.18 pada penutup Khamis.
Indeks barometer dibuka 4.22 mata lebih lemah pada 1,624.96 dan turun naik antara 1,614.83 hingga 1,624.96 sepanjang sesi pagi.
Sentimen pasaran meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 860 berbalas 309. Manakala, 441 kaunter tidak berubah, 796 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 3.37 billion unit yang bernilai RM2.43 billion.
Berdasarkan kenyataan Penyelidikan Sekuriti Melaka, FBM KLCI alami ‘pullback’ daripada paras tertinggi 52 minggu yang melibatkan saham wajaran tinggi utiliti. Manakala, FBM ACE mula menembusi paras tertinggi 52 minggu.
Sementara itu, firma itu berkata sentimen di Wall Street bercampur-campur walaupun keputusan lebih baik daripada jangkaan oleh Nvidia. Data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan dan Perkhidmatan AS adalah lebih baik daripada jangkaan dan data jualan rumah baharu lebih lembut daripada jangkaan.
Antara saham wajaran tinggi, Petronas Dagangan Bhd susut 16 sen kepada RM20.26, Tenaga Nasional Bhd susut lapan sen kepada RM13.02 dan Telekom Malaysia Bhd susut lima sen kepada RM6.50. Daripada saham aktif, AHB Holdings Bhd naik 0.5 sen kepada 17.5 sen.
Melengkapkan kaunter untung utama ialah Sime Darby Property Bhd yang meningkat sembilan sen kepada RM1.25 dan FajarBaru Builder Group Bhd meningkat lima sen kepada RM43.5 sen.