US dolar berjaya bangkit untuk paparkan pemulihan yang positif pada dagangan Rabu semalam setelah alami tekan berterusan sejak penghujung minggu lalu susulan keputusan pemotongan kadar faedah yang agresif oleh Federal Reserve (Fed).
Data jualan rumah baru di Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada sesi New York semalam turut memberikan sokongan untuk pengukuhan US dolar dengan bacaan jumlah yang lebih baik berbanding angka ramalan.
Meskipun raja mata wang itu kembali menunjukkan peningkatan nilainya semula, pelabur tetap kekal berhati-hati menjangkakan risiko berterusan terhadapnya selepas ini.
Ini berikutan pasaran masih meletakkan jangkaan bahawa langkah pemotongan kadar faedah akan diteruskan oleh Fed pada baki mesyuarat penghujung 2024 ini.
Menyusuli pandangan beberapa ahli Fed sebelum ini yang menyokong lanjutan pelonggaran dasar, Gabenor Fed Adriana Kugler semalam menyatakan sokongan kuat beliau untuk Fed menurunkan lagi kadar faedah sebanyak 50 mata asas.
Kugler melihat bahawa langkah tersebut adalah bersesuaian sekiranya inflasi berterusan menurun ke arah sasaran seperti yang dijangkakan.
Namun, keputusan dasar monetari seperti yang dimaklumkan Pengerusi Fed Jerome Powell sebelum ini akan bergantung berdasarkan data-data terbaru yang akan diterbitkan.
Tumpuan pada sesi New York malam ini (Khamis) akan terarah kepada bacaan akhir untuk pertumbuhan ekonomi AS (KDNK) bagi suku tahun kedua 2024.
Selepas bacaan yang dikemaskini meningkat sebelum ini, ramalan bagi angka terbaru adalah kekal tidak berubah di paras 3.0%.
Seterusnya, tumpuan akan beralih kepada ucapan oleh Jerome Powell yang menghadiri acara persidangan di New York dengan pelabur mengharapkan bakal ada petunjuk terbaru yang akan disampaikan beliau berkenaan dasar monetari.
Selain Powell, kenyataan oleh beberapa ahli FOMC lain turut akan mencuri perhatian yang menghadiri lain-lain acara persidangan.