Cubaan kenaikan harga pada carta pasangan mata wang GBP/USD pada pembukaan awal minggu semalam dilihat gagak mengatasi paras ketinggian dicatatkan paras Jumaat lalu.
Namun, apa yang jelas adalah kenaikan harga masih terhalang oleh zon rintangan 1.28000 yang diuji untuk 2 hari berturut-turut.
Sukar untuk pelabur menentukan kekuatan mata wang US dolar dengan lebih jelas selagi laporan data inflasi Amerika Syarikat (AS) belum lagi diterbitkan.
Bacaan terbaru inflasi AS untuk bulan November itu yang bakal diterbitkan pada Rabu esok, akan menjadi panduan bank pusat dalam penetapan dasar monetari mereka selepas laporan pekerjaan diteliti minggu lalu.
Harga pada carta GBP/USD telah dilihat berundur turun dari zon 1.28000 ketika menuju dagangan penghujung sesi New York sebelum berakhir di sekitar 1.27500.
Pergerakan perlahan di sekitar tersebut pada dagangan sesi Asia pagi ini (Selasa) dilihat menguji garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta itu yang boleh memberi petunjuk arah pergerakan selanjutnya.
Jika penurunan diteruskan hari ini, harga dilihat akan mencecah 1.27000 untuk menguji paras tumpuan tersebut seperti dagangan awal minggu lepas.
Menjunam lebih rendah akan mengheret harga jatuh menuju sekitar 1.26000 untuk catatkan paras terendah 2 minggu.
Sebaliknya jika harga melonjak naik semula, zon rintangan 1.28000 akan terus menjadi tumpuan untuk diuji sehingga berjaya harga tembusi.
Paras ketinggian terbaru 4 minggu akan dicatatkan selepas kenaikan berjaya diteruskan dengan sasaran seterusnya akan beralih ke sekitar 1.29000.