Tumpuan pada sesi New York semalam adalah laporan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) untuk pasaran menilai bacaan terakhir Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2024.
Seperti yang dijangkakan, angka kekal di paras 3.0% seperti bacaan sebelumnya yang telah diterbitkan pada Ogos lalu.
Turut diterbitkan bersama adalah tuntutan faedah pengangguran AS untuk minggu lalu yang mencatatkan angka lebih rendah berbanding ramalan, menjadi petanda yang positif.
Juga, data pesanan barangan tahan lama (durable goods order) AS catat bacaan yang lebih baik untuk Ogos berbanding ramalan pasaran.
US dolar menunjukkan reaksi bercampur di awal sesi New York ketika pelabur meneliti data-data yang diterbitkan, namun dilihat mula bergerak lemah menuju ke penghujung sesi.
Tumpuan pada penghujung minggu ini pula akan terarah kepada indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan peribadi pengguna di AS, salah satu komponen inflasi yang diberikan perhatian oleh Federal Reserve (Fed) dalam keputusan penetapan dasar.
Fed yang dijangka akan meneruskan lanjutan pelonggaran dasar disokong oleh ahli-ahli FOMC dilihat akan terus menekan dagangan US dolar.
Swiss National Bank (SNB) pada mesyuarat polisi semalam juga menurunkan kadar faedah ke paras 1.00%, menjadi langkah pemotongan kadar untuk 3 kali mesyuarat berturut-turut pada tahun ini.
Pelabur dapat melihat situasi polisi monetari global ketika ini sedang beralih kepada fasa pelonggaran dalam usaha untuk menstabilkan ekonomi negara masing-masing.