Tekanan berterusan menimpa ke atas dagangan US dolar sehingga ke sesi terakhir minggu lepas apabila terkesan oleh data indeks harga PCE Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan.
Mengukur perbelanjaan peribadi pengguna di AS yang turut menjadi salah satu indikator komponen inflasi bagi bank pusat, bacaan untuk bulan Ogos meningkat lebih perlahan kepada 0.1% berbanding Julai pada 0.2%.
Bacaan teras juga meningkat kepada 0.1%, tidak mencapai ramalan untuk kekal di paras 0.2% seperti bulan sebelumnya.
US dolar jelas melemah pada awal sesi New York Jumaat lalu ketika memberi reaksi terhadap data tersebut yang diterbitkan, namun perlahan-lahan pulih menuju penghujung sesi bagi menutup dagangan minggu tersebut.
Jika data-data ekonomi AS terbaru berterusan menunjukkan angka yang suram, US dolar bakal alami kejatuhan nilai seperti yang dijangkakan penganalisis, menyusuli tindakan pemotongan kadar faedah yang agresif Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat terbarunya.
Tumpuan pada minggu ini akan terarah kepada laporan pekerjaan NFP AS di penghujung minggu yang bakal mempengaruhi keputusan Fed untuk penetapan dasar monetari mereka yang selanjutnya.
US dolar terus melemah berbanding kebanyakan mata wang utama dengan paling ketara adalah berbanding Yen.
Ini berikutan Yen yang mula menunjukkan pengukuhan ketara di penghujung minggu lepas susulan berita kemenangan Shigeru Ishiba dalam undian pemilihan pemimpin Parti Liberal Demkoratik (LDP) yang bakal mengangkat beliau menjadi Perdana Menteri Jepun yang baharu.
Kemenangan Ishiba menambahkan keyakinan terhadap dasar monetari Jepun yang lebih stabil sekaligus memberi sokongan terhadap pengukuhan Yen dalam pasaran.