Tumpuan pasaran pada pembukaan awal minggu semalam adalah kepada terbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan di sesi Eropah dan New York.
Bacaan agak bercampur menyaksikan angka PMI pembuatan Disember yang merosot, manakala sektor perkhidmatan cemerlang menunjukkan bacaan angka yang meningkat lebih tinggi.
Justeru, berlaku pergerakan yang bercampur untuk beberapa sesi dengan mata wang Euro dan US dolar terperangkap dalam julat harga yang perlahan.
Jika diperhatikan pada carta pasangan mata wang EUR/USD, harga kekal berlegar pada zon tumpuan 1.05000 dengan penurunan mencecah sekitar 1.047000 manakala kenaikan harga pula terbantut setakat paras 1.05200.
Menyambung dagangan pada sesi Asia pagi ini (Selasa), harga berada di atas zon 1.05000 memberi isyarat awal untuk pergerakan bullish ketika harga bergerak di atas garisan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta tersebut.
Pelabur akan kekal berwaspada memerhatikan petunjuk seterusnya dengan tumpuan hari ini akan terarah untuk data ekonomi Eropah yang akan mempengaruhi mata wang Euro, sementara di sesi New York malam nanti pula, data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) akan memacu US dolar.
Sekiranya harga melonjak naik, sasaran adalah untuk mencapai semula ke zon 1.06000 seperti pada minggu sebelum ini.
Zon tersebut masih kekal menjadi rintangan penting yang menghalang kenaikan lebih tinggi harga untuk 4 minggu berturut-turut.
Sementara, jika berlaku penurunan di bawah zon 1.05000, harga berisiko untuk lanjutkan penurunan bagi menyambung corak bearish minggu lepas.
Penurunan harga dijangka bakal mencecah sekitar 1.04000 atau tembus lebih rendah untuk catatkan paras terendah terbaru 4 minggu.
Lihat gambar carta harga pasangan EUR/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.