- PMI AS bercampur, sektor perkhidmatan kukuh namun pembuatan merosot
- BOC turunkan kadar faedah 25 mata asas kepada 4.50%
- Tumpuan pada data GDP AS suku kedua 2024
Pasaran memberi tumpuan terhadap data PMI yang diterbitkan di sesi Eropah dan New York semalam, memberi kesan terhadap pergerakan mata wang utama.
Sektor pembuatan dan perkhidmatan di Eropah merosot untuk bacaan bulan Julai, dengan tumpuan angka yang menurun di Jerman.
Euro alami kejatuhan susulan laporan data yang suram tersebut, namun lain pula cerita yang terjadi pada mata wang Pound.
Pound berjaya paparkan pengukuhan di sesi Eropah semalam ketika data PMI yang diterbitkan menunjukkan pengembangan positif bagi kedua-dua sektor pembuatan dan perkhidmatan di UK.
Di sesi New York pula agak rancak pergerakan harga yang dipaparkan apabila data PMI yang sama untuk Amerika Syarikat (AS) hadir dengan bacaan yang bercampur.
Sektor perkhidmatan AS kukuh ke paras tertinggi 28 bulan catat 56.0 mata, namun sektor pembuatan pula merosot di bawah 50.0 mata semula, menunjukkan penguncupan kali pertama untuk tahun ini.
US dolar paparkan penyusutan di awal sesi New York, namun kembali pulih semula ketika dagangan menuju ke penghujung sesi.
Tumpuan pada sesi yang sama adalah turut terarah kepada keputusan mesyuarat polisi bank pusat Kanada.
Bank of Canada (BOC) menepati ramalan untuk menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas ke paras 4.50%, kali kedua setelah penurunan kali pertama dilakukan pada mesyuarat Jun lalu.
Ini telah memberi kesan kejatuhan nilai dolar Kanada ke paras terendah 14 minggu berikutan langkah agresif BOC yang beralih kepada pelonggaran dasar itu.
Pasaran akan memberi tumpuan pula pada petunjuk penting hari ini iaitu laporan pertumbuhan ekonomi AS (GDP) untuk suku kedua 2024 yang dijangkakan sedikit baik berbanding suku pertama.