Menjelang mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis nanti, tumpuan pelabur terarah dahulu kepada data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang telah diterbitkan di sesi New York semalam.
Kedua-dua bacaan data adalah positif dengan tinjauan keyakinan pengguna AS catatkan angka yang meningkat lebih baik berbanding ramalan.
Sementara, data JOLTS yang mengira jumlah pekerjaan yang ditawarkan pada bulan Disember lalu juga memberangsangkan, tertinggi untuk tempoh 3 bulan.
Walaupun kedua-dua data itu diterbitkan dengan bacaan yang dilihat menyokong ekonomi AS, namun tidak memberi kesan ketara terhadap pergerakan US dolar semalam.
Ini berkemungkinan para pemain pasaran masih dalam mod berjaga-jaga menantikan dahulu keputusan mesyuarat FOMC untuk mendapatkan petunjuk lebih jelas menerusi ucapan oleh Pengerusi Feederal Reserve (Fed) Jerome Powell.
Majoriti pasaran kekal menjangkakan kadar faedah tidak berubah di paras 5.50% tersebut, namun kenyataan susulan oleh Powell akan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dasar monetari sekaligus memacu pergerakan pasaran untuk tempoh ke hadapan.
Gelora dijangka akan berterusan hingga ke penghujung minggu buat US dolar di mana laporan data pekerjaan NFP pula akan menyusul.
Hari ini (Rabu), tumpuan terarah seketika pada data inflasi Australia yang diterbitkan di sesi Asia dan juga data PMI pembuatan China.
Data inflasi Jerman akan menyusul di sesi Eropah sebelum pelabur akan memerhatikan data pekerjaan ADP yang mengukur sektor swasta di AS pada sesi New York nanti.
Seterusnya, barulah semua mata akan tertumpu pada keputusan mesyuarat FOMC di awal pagi Khamis, jam 3 pagi waktu tempatan.
Pergerakan pasaran dijangka akan berisiko dan tidak menentu untuk beberapa sesi ini sebelum keputusan mesyuarat diketahui.
Untuk perkembangan pasaran komoditi, tidak banyak perubahan pada pergerakan harga minyak mentah ketika pelabur masih memantau perkembangan konflik di Timur Tengah yang masih berlarutan.
Dagangan emas walau bagaimanapun sedikit cemerlang meneruskan peningkatan harganya semalam yang dilihat hampir mencapai paras $2,050 namun berlaku penyusutan semula menyaksikannya kembali ke zon $2,030.