Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terselamat dari cubaan pembunuhan selepas beberapa tembakan dilepaskan ke arah beliau semasa berlangsungnya kempen pilihan raya.
Ketika kejadian, Trump baru sahaja memulakan ucapannya sebelum beberapa das tembakan kedengaran. Beliau yang menyedari serangan itu terus duduk berlindung di belakang podium dan suasana menjadi kecoh dan panik.
Beberapa klip video menunjukkan Trump bangun mengangkat tangan dan menutup telinga kanannya selepas mendapati peluru tembakan hanya mengenai belakang kepala.
Ketika itu, ejen Perkhidmatan Rahsia (SIS) mengerumuninya dengan situasi panik tercetus dalam kalangan penyokongnya.
Walau bagaimanapun, penembak dilaporkan maut bersama seorang penyokong yang hadir. Seorang lagi berada dalam keadaan kritikal. Identiti dan motif penembak masih dalam siasatan.
Tembakan itu berlaku kurang empat bulan sebelum pilihan raya pada 5 November depan apabila Trump akan berdepan pesaingnya iaitu Presiden Demokrat, Joe Biden.
Trump dan Biden sekali lagi bersaing dalam pilihan raya tahun ini dengan kebanyakan tinjauan menunjukkan kedua-dua calon itu mempunyai peluang seimbang.
Dalam reaksi segera, pemimpin Republikan dan Demokrat turut mengutuk keganasan itu.
Sementara itu, Biden dalam satu kenyataan terbuka berkata tiada tempat untuk keganasan dalam politik negara.