Ekonomi Amerika Syarikat mencatatkan penambahan pekerjaan yang lebih tinggi daripada unjuran pada November, walaupun kadar pengangguran meningkat, menandakan pemulihan pasaran buruh selepas data Oktober yang terjejas oleh cuaca buruk dan mogok pekerja.
Data dari Biro Statistik Buruh (BLS) yang dikeluarkan pada hari Jumaat menunjukkan sebanyak 227,000 pekerjaan baharu diwujudkan pada November, melebihi jangkaan ahli ekonomi sebanyak 220,000.
Sementara itu, kadar pengangguran meningkat kepada 4.2% daripada 4.1% pada Oktober. Penambahan pekerjaan pada November juga lebih tinggi berbanding semakan 36,000 pekerjaan baharu pada Oktober. Taufan dan mogok pekerja Boeing (BA) memberi kesan ketara kepada laporan Oktober. Semakan untuk September dan Oktober menunjukkan ekonomi AS menambah 56,000 lebih pekerjaan daripada anggaran awal bagi dua bulan tersebut.
Pertumbuhan gaji, ukuran penting untuk menilai tekanan inflasi, kekal pada 4% dari bulan sebelumnya, lebih tinggi daripada jangkaan ahli ekonomi sebanyak 3.9%. Secara bulanan, gaji meningkat 0.4%, sejajar dengan peningkatan Oktober dan melebihi jangkaan 0.3%.
Dalam masa yang sama, kadar penyertaan tenaga buruh jatuh kepada 62.5% pada November, berbanding 62.6% pada Oktober. Dari segi sektor, pekerjaan dalam pembuatan peralatan pengangkutan meningkat sebanyak 32,000 pada November, “mencerminkan kepulangan pekerja yang sebelum ini mogok,” menurut BLS.
Indeks AS dolar yang mengukur mata wang AS dolar berbanding enam mata wang utama didagangkan susut sebanyak 0.11% kepada paras dagangan 105.59