Emas menyaksikan pendakian tinggi seterusnya sejak hujung minggu lepas dengan mencecah paras tertinggi dalam sejarah sekali lagi ke tahap $2,164.78 dengan sasaran yang dijangkakan adalah menuju $2,200.
Situasi tidak berubah, dolar AS merosot dalam pasaran apabila Federal Reserve (Fed) dijangkakan bersedia untuk melonggarkan dasar monetarinya.
Harga emas kini berada pada paras $2,156.89 iaitu turun sebanyak 0.14% sejak pembukaan dagangan pagi tadi.
Malam tadi ECB memutuskan untuk mengekalkan kadar faedahnya tidak berubah pada 4.50% dan menyampaikan kenyataan yang bernada hawkish oleh Presiden ECB, Christine Lagarde. Walaupun ada kemungkinan untuk berlakunya pelarasan dasar, beliau tidak mengendahkan untuk ada potensi berlakunya pemotongan kadar faedah menjelang mesyuarat April nanti.
Akibatnya, hasil Perbendaharaan AS meningkat dan mencetuskan kenaikan berterusan buat harga logam kuning.
Ucapan Pengerusi Fed, Jerome Powell di Kongres turut menyebut berkenaan pelarasan kos pinjaman dan mereka semakin menghampiri untuk lakukan pelonggaran dasar. Walaupun beliau menolak untuk berlakunya pemotongan pada Mac, spekulasi untuk bulan Jun pula semakin kukuh.
Peluang untuk pemotongan kadar suku peratus dalam mesyuarat itu meningkat.
Sementara itu, hasil Perbendaharaan AS jatuh sepanjang minggu ini dengan kadar nota penanda aras 10 tahun pada 4.116% iaitu turun sebanyak enam mata asas.
Selain itu, data ekonomi AS yang lemah menunjukkan ekonomi tidak berjalan dengan kukuh seperti yang dijangkakan. Data ekonomi AS yang menunjukkan laporan tuntutan pengangguran meningkat seperti yang dijangkakan sebanyak 217,000 walaupun situasi pasaran buruh sepatutnya tidak ketara akibat dasar yang lebih ketat.
Pada hari ini, data penting Non-Farm Payrolls (NFP) AS yang akan diumumkan pada 9.30 malam bakal menentukan hala tuju mata wang dolar AS yang sebenar.