Pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat pada tengah hari menembusi paras 1,600 berikutan Wall Street menghadam pencalonan pengurus dana lindung nilai, Scott Bessent sebagai Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang baharu.
Pada jam 2.30 tengah hari, FBM KLCI meningkat 7.44 mata (0.47%) kepada 1,604.89 mata daripada 1,597.45 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 3.05 mata kepada 1,600.50.
Suasana pasaran positif dengan 153 kaunter untung mengatasi 138 kaunter rugi manakala 265 kaunter kekal tidak berubah, 1,906 saham tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 244.52 juta unit bernilai RM57.83 juta.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata Bessent terkenal dengan reputasinya untuk cenderung meningkatkan defisit mungkin menyebabkan penurunan dalam hasil Perbendaharaan AS ke paras terendah hampir satu bulan.
Perkara tersebut telah menimbulkan harapan bahawa beliau akan membantu memulihkan ekonomi AS dan memperbaiki keadaan perniagaan secara keseluruhan.
Selain itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Biro Statistik Kebangsaan China dijadual diumumkan hari ini mungkin menyebabkan pelabur bersikap berhati-hati.
Mereka menjangkakan FBM KLCI akan kekal dalam penyatuan, cuba melebihi paras 1,600 dan berada dalam julat 1,590-1,605 hari ini.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank, Hong Leong Bank dan CelcomDigi tidak berubah, masing-masing pada RM10.30, RM20.88 dan RM3.55.
CIMB turun tiga sen kepada RM8.35 manakala Public Bank dan IHH meningkat satu sen masing-masing kepada RM4.46 dan RM7.10. – Bernama