Setelah dinantikan untuk beberapa minggu kebelakangan ini, akhirnya persoalan telah terjawab pada acara tumpuan awal pagi tadi.
Mesyuarat FOMC edisi Mei 2024 dilihat menjadi titik penting terhadap para pelabur untuk menentukan hala tuju pasaran menerusi petunjuk dasar monetari bank pusat.
Federal Reserve (Fed) seperti dijangkakan mengekalkan kadar faedah di paras 5.50% untuk mesyuarat kali ke-6 berturut-turut dan kemudiannya ucapan susulan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell menjadi perhatian yang lebih utama.
Menurut Powell, indikator terbaru yang dipantau menunjukkan aktiviti ekonomi Amerika Syarikat (AS) berada pada tahap yang memuaskan dengan pekerjaan yang kukuh dan kadar pengangguran menurun.
Inflasi yang menjadi petunjuk penting telah menunjukkan penurunan dalam tempoh 1 tahun ini, namun untuk beberapa bulan kebelakangan, sasaran untuk mencapai objektif inflasi 2% sedikit sukar.
Justeru, ahli mesyuarat FOMC bersetuju untuk terus mengekalkan kadar faedah serta Powell memberi isyarat bahawa kemungkinan besar kenaikan kadar faedah tidak akan berlaku pada mesyuarat seterusnya, iaitu pada Jun.
Peratusan untuk langkah pemotongan kadar faedah pada Julai turut menurun dan pasaran meletakkan jangkaan untuk langkah tersebut dilaksanakan seawal-awalnya pada September dan peratusan lebih tinggi adalah pada November.
Turut diumumkan, bermula pada Jun, penebusan bon bulanan akan dikurangkan daripada $60 bilion kepada $25 bilion.
Langkah pengetatan kuantitatif (tapering) ini merupakan salah satu kaedah yang diguna pakai oleh bank pusat dalam fasa pengetatan dasar monetari yang akan mendorong pengurangan bekalan wang dalam ekonomi.
Justeru, ini menunjukkan Fed komited untuk menurunkan kadar inflasi sebelum betul-betul bersedia dan yakin untuk pemotongan kadar faedah dilaksanakan.
US dolar menunjukkan reaksi suram selepas mesyuarat dengan indeks dolar (DXY) merudum jatuh dari ketinggian berhampiran 106.50 mata hingga mencecah sekitar 105.45.
Untuk tempoh ke depan, US dolar dijangka akan bergerak kukuh berikutan unjuran Fed yang akan mengekalkan dasar pengetatan pada tempoh lebih lama.
Pelabur berkemungkinan mengambil dahulu keuntungan untuk posisi dagangan terdahulu sebelum mendapatkan harga yang terbaik selepas ini.
Tumpuan pasaran di penghujung minggu bakal terarah kepada laporan data pekerjaan NFP AS pula untuk petunjuk terbaru.