Setelah dinanti-nantikan, akhirnya persoalan berkenaan keputusan mesyuarat terakhir FOMC bagi tahun 2024 ini telah terjawab pada awal pagi tadi.
Federal Reserve (Fed) memutuskan untuk menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas dari 4.75% kepada 4.50% pada mesyuarat Disember, menepati ramalan pasaran.
Namun, walaupun Fed bertindak menurunkan kadar faedah, mata wang US dolar paparkan pengukuhan begitu ketara untuk menutup dagangan sesi New York tersebut.
Ini disebabkan oleh petunjuk oleh bank pusat itu untuk memperlahankan langkahnya dalam fasa pelonggaran dasar monetari mereka yang selanjutnya.
Pengerusi Fed Jerome Powell sampaikan kenyataan dengan nada yang berwaspada, mengatakan bahawa bank pusat perlu bergerak dengan berhati-hati dengan memantau perkembangan inflasi semasa dan pasaran buruh.
Powell melihat ekonomi Amerika Syarikat (AS) ketika ini dinilai kekal kukuh dan mereka berjaya mengelak daripada risiko kemelesetan ekonomi.
Berdasarkan petunjuk pada dot plot, agak mengejutkan pelabur apabila dijangkakan hanya 2 kali pemotongan kadar faedah berkemungkinan berlaku pada tahun 2025.
Keputusan yang bersifat “hawkish cut” oleh Fed itu telah mendorong sokongan terhadap mata wang US dolar yang dijangka akan mengekalkan momentum positif itu sehingga ke penutup dagangan minggu ini.
Membicarakan berkenaan persoalan tentang tarif, Powell jelaskan ahli mesyuarat akan membuat penilaian dengan teliti untuk meletakkan polisi yang tepat bersesuaian dengan tarif yang bakal dilaksanakan di bawah pimpinan kerajaan Donald Trump selepas ini.
Justeru, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan tentan impak tarif ke atas ekonomi.
Tumpuan pasaran kini akan beralih pula kepada mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ) di sesi Asia dan Bank of England (BOE) di sesi Eropah.
Selain itu, data pertumbuhan ekonomi AS untuk bacaan terakhir bagi suku ketiga 2024 turut akan diperhatikan pada sesi New York malam ini.