Laporan inflasi Malaysia kekal 2.0% pada Jun 2024 dengan mata indeks mencatatkan 133.0 berbanding 130.4 pada bukan yang sama tahun sebelumnya.
Impak daripada perlaksanaan pelarasan subsidi diesel pada 10 Jun 2024 dilihat agak minimum apabila kadar inflasi Malaysia masih utuh dengan sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan peningkatan inflasi tersebut didorong oleh peningkatan harga bagi beberapa kumpulan utama.
Ia termasuk industri restoran dan perkhidmatan penginapan (3.3%), perumahan air, elektrik, gas dan bahan api (3.2%), penjagaan diri dan perlindungan sosial (2.8%) dan makanan minuman (2.0%).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan inflasi kumpulan makanan dan minuman mencatatkan peningkatan 2.0% pada Jun. Inflasi keseluruhan secara bulanan pula merekodkan kenaikan 0.2%.
Sementara itu, inflasi teras meningkat 1.9 peratus pada Jun kadar yang sama seperti yang direkodkan pada Mei tahun ini.
Bagi inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0%.
Walau bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3%), Sarawak (2.7%), Pahang (2.7%), dan Selangor (2.4%).