Beberapa serangan udara Israel di tengah dan utara Semenanjung Gaza sehingga Khamis telah membunuh kira-kira 14 orang serta mencederakan berpuluh-puluh warga yang lain.
Kereta kebal zionis turut memperdalamkan pencerobohan mereka di Selatan Rafah dam pesawat mereka menyerang sebuah rumah di kem Al-Nuseirat serta membunuh dua orang dan mencederakan 12 yang lain.
Selain itu, kereta kebal membedil kawasan di kem Al-Maghazi dan Al-Bureij dengan mencederakan sebilangan penduduk di sana. Nuseirat, Maghazi dan Bureij adalah tiga daripada lapan kem pelarian di Gaza.
Deir al-Balah, sebuah bandar yang menjadi penempatan penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal alami serangan udara Israel dengan membunuh seorang rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain.
Di sempadan Mesir, kereta kebal Israel yang ditempatkan jauh di kawasan barat dan tengah bandar itu meningkatkan pengeboman serta memaksa lebih ramai keluarga yang tinggal di kawasan pantai melarikan diri ke utara. Beberapa penduduk berkata kadar serbuan semakin cepat sejak Rabu.
Kini, Rafah menempatkan lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza sehingga 7 Mei apabila tentera Isreal memulakan serangan darat ke bandar itu. Kira-kira 100,000 penduduk kini hilang tempat tinggal.
Tiada tanda-tanda penghentian perang kerana usaha antarabangsa yang disokong oleh Amerika Syarikat ternyata gagal memujuk Israel dan Hamas untuk laksanakan segera gencatan senjata.
Pejuang Hamas berkata mereka memerangi tentera Israel dengan roket anti-kereta kebal dan beberapa kawasan telah diletupkan dengan bahan letupan pra-tanam dalam menentang pencerobohan.
Serangan setakat ini telah menyebabkan Gaza hancur dan membunuh lebih 37,400 penduduk. Hampir keseluruhan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan melarat.