Ketika kecoh dengan kes kebakaran bangunan perumahan yang disebabkan oleh bateri EV di Korea Selatan baru-baru ini, jenama kenderaan elektrik (EV) China terus mengorak langkah dalam industri itu.
Sebuah syarikat automotif China, Zeekr telah memperkenalkan bateri kenderaan elektrik yang didakwa mampu mengecas lebih pantas berbanding pesaing sedia ada.
Bateri boleh dicas daripada kapasiti 10% hingga 80% dalam masa 10 minit hingga setengah jam sahaja menggunakan stesen pengecas ultra-pantas Zeekr.
Ini melebihi kelajuan pengecasan gergasi industri lain seperti Tesla dan BYD.
Kenderaan pertama Zeekr yang bakal menggunakan bateri canggih ini iaitu sedan 2025 007, akan dijual mulai minggu depan.
Tambahnya lagi, bateri mampu mengekalkan keupayaan pengecasan pantasnya walaupun dalam keadaan sejuk, mengecas dari 10% hingga 80% dalam masa kurang daripada 30 minit pada suhu serendah -10°C.
Perkembangan pesat Zeekr mencerminkan persaingan sengit dalam pasaran EV China, di mana jenama seperti BYD menumpukan pada skala, manakala yang lain, termasuk Zeekr, mengutamakan pengalaman pengecasan yang pantas.
Syarikat induk, Geely, menyokong kemajuan Zeekr dengan sumbernya yang luas, mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran.
Di sebalik lonjakan teknologi ini, saham Zeekr, yang mula didagangkan di Bursa Saham New York pada bulan Mei, telah menghadapi cabaran, terutamanya berikutan kenaikan tarif baru-baru ini ke atas EV buatan China oleh pentadbiran Biden.
Langkah-langkah dilihat sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk menangani kebimbangan terhadap pengaruh China yang semakin meluas dalam pasaran EV global.