Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan jumlah penganggur pada Mei 2024 terus menurun kepada 566,100 berbanding 566,400 pada bulan sebelum dan ia kekal 3.3%.
Ketua Perangkaan Malaysia, Dr Mohd Uzir berkata kedudukan ekonomi yang optimis pada Mei lalu membolehkan pasaran buruh negara terus berkembang dengan stabil.
Katanya lagi, bilangan tenaga buruh dikaji terus mengukuh sebanyak 0.1% dan merekodkan 17.15 juta orang berbanding April iaitu 17.12 juta orang. Manakala, kadar tenaga buruh kekal pada 70.3% sama seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Bilangan penduduk bekerja pada Mei juga kekal dalam trend positif dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.58 juta orang berbanding 16.56 juta orang pada April 2024.
Manakala, beliau berkata kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal tidak berubah iaitu pada 6.5% dengan 434,600 orang berbanding bulan sebelumnya 434,900 orang.
Disebabkan aktiviti ekonomi dan perniagaan yang rancak telah menyumbang kepada kewujudan lebih banyak pekerjaan serta peluang pendapatan dalam ekonomi. Sekali gus menggalakkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran.
Selain itu, prestasi indeks pelopor negara juga terus mencatatkan peningkatan dan memberi isyarat bahawa ekonomi Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan berterusan dalam tempoh terdekat.
Pasaran buruh dijangka akan terus berada di landasan yang stabil pada bulan-bulan akan datang disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan kedudukan ekonomi domestik yang semakin berkembang serta pemulihan sektor luaran.