Laporan terkini, ekonomi Malaysia berkembang pada 3.7% untuk tahun lalu berbanding pertumbuhan tinggi pada tahun 2022 iaitu sebanyak 8.7% di saat pemulihan ekonomi selepas era pandemik Covid-19.
Pertumbuhan KDNK setahun penuh 2023 ternyata rendah sedikit berbanding sasaran rasmi kerajaan pada 4.0 hingga 5.0 peratus dan kini berada di bawah jangkaan penganalisis sekitar 3.9 peratus.
Bagi suku keempat 2023, KDNK negara berkembang sebanyak 3.0 peratus, susut sedikit berbanding 3.3 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya, tetapi lebih tinggi dari 2.9 peratus yang dicatatkan pada suku kedua.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata bahawa prestasi tersebut disebabkan oleh faktor perdagangan global yang lebih perlahan, kitaran menurun teknologi global, ketegangan geopolitik dan dasar monetari lebih ketat.
Pada peringkat domestik, sokongan dasar telah luput apabila ekonomi mula dibuka pada 2022 di mana berlakunya pemulihan dalam aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran buruh terus menyokong pertumbuhan pada 2023.
Katanya lagi, prestasi pertumbuhan ekonomi diperkukuh oleh kedudukan luaran yang berdaya tahan dengan lebihan akaun semasa bagi tahun 2023 dikekalkan pada 1.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta disokong oleh struktur eksport yang pelbagai merentasi pasaran dan produk.
Walau bagaimanapun, hutang luar negeri kekal terurus memandangkan profil tempoh matang dan mata wang yang menggalakkan.
Satu pertiga daripada hutang luar negeri adalah dalam dominasi ringgit yang mengehadkan risiko mata wang dan sekitar 70% daripada hutang mempunyai tempoh jangka sederhana yang lebih panjang.