Bank Negara Malaysia (BNM) berkata kelemahan semasa dalam ringgit adalah disebabkan oleh faktor kitaran dengan kenaikan kadar 525 mata asas oleh Federal Reserve (Fed) yang agresif sepanjang tahun 2022 hingga 2023.
Situasi ini menorong kepada kenaikan mata wang dolar AS berikutan permintaan yang kukuh.
Selain itu, konflik geopolitik turut menyebabkan para pelabur memilih untuk memegang dolar AS dengan lebih lama sebagai aset selamat.
Manakala, prospek pertumbuhan ekonomi China yang lemah turut menjejaskan sentimen pelaburan di rantau ini.
Bank pusat itu turut menambah asas ekonomi Malaysia masih kekal kukuh dan unit tempatan kini dinilai rendah berbanding dolar AS. Dalam laporannya, mereka menjangkakan tekanan ke atas ringgit akan berkurangan dalam masa terdekat.
Mereka turut menggalakkan penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas apabila menyelesaikan pembayaran eksport atau import sama ada melalui Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan atau saluran perbankan koresponden biasa untuk mengurangkan pergantungan kepada dolar AS.
BNM turut menyatakan prospek ringgit dikaitkan dengan usaha pembaharuan struktur Putrajaya bagi memastikan kemampanan fiskal, bidang pertumbuhan baharu, peningkatan potensi pertumbuhan dan daya saing buruh.
Kejayaan dalam pelaksanaan pembaharuan yang diumumkan dan dicadangkan seharusnya membawa lebih banyak aliran pelaburan ke Malaysia dan dengan itu memberikan sokongan yang lebih berkekalan untuk ringgit dalam jangka panjang.
Dari perspektif operasi, Bank Negara berkata operasi pertukaran asingnya menyediakan sokongan yang diperlukan untuk melicinkan turun naik berlebihan dalam pergerakan kadar pertukaran ringgit.