Pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un mengarahkan semua pegawai tertingginya untuk menggunakan kekerasan secara maksimum terhadap Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sekiranya dua sekutu itu memulakan konfrontasi ketenteraan.
Baru-baru ini, Korea Selatan dan AS telah meningkatkan kerjasama pertahanan dalam menghadapi siri ujian senjata walaupun peluru berpandu milik Korea Utara masih mencatatkan rekod tertinggi sepanjang tahun lalu.
Semasa mengadakan satu pertemuan bersama pegawai pemerintah utama Korea Utara di Pyongyang pada malam tahun baru, Jong-un meminta agar para tenteranya harus ‘memusnahkan’ musuh jika mereka melakukan provokasi.
Melalui kenyataannya, jika musuh memilih untuk melakukan provokasi terhadap Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK). Tenteranya perlu melancarkan serangan maut untuk memusnahkan mereka secara menyeluruh serta menggerakkan semua strategi dan potensi paling berisiko tanpa ragu-ragu.
Kim Jong-un juga sebelum ini pernah mengeluarkan ancaman berkenaan serangan nuklear ke atas Seoul dan mengarahkan tenteranya membangunkan senjata itu bagi bersiap sedia menghadapi perang yang dibimbangi boleh meletus pada bila-bila masa di Semenanjung Korea.
Sementara itu, pihaknya juga tidak akan lagi mencari perdamaian dan penyatuan semula dengan Korea Selatan susulan krisis tidak terkawal yang dicetuskan oleh Seoul dan Washington.
Semasa mesyuarat penetapan agenda dasar untuk 2024, dia turut menuduh bahawa AS telah menimbulkan pelbagai bentuk ancaman ketenteraan.
Pada sisi lain, Presiden Yoon Suk-yeol berikrar bahawa Korea Selatan akan mengekalkan provokasi terhadap tentera Pyongyang dengan menjalankan sistem pencegahan lanjutan bersama Washington yang dijadualkan pada separuh pertama 2024.