Seperti yang dijangkakan, US dolar masih meneruskan lagi siri pengukuhannya sehingga ke sesi New York semalam dipacu oleh faktor yang sama iaitu jangkaan terhadap dasar monetari Federal Reserve (Fed).
US dolar kukuh ke paras tertinggi 3 bulan berbanding Yen walaupun data jualan rumah di Amerika Syarikat (AS) pada September catat sedikit rendah berbanding ramalan.
Pengukuhan berterusan US dolar untuk 16 ke 18 sesi itu telah mempamerkan prestasi cemerlang bagi 4 minggu berturut-turut setelah Fed mengumumkan pemotongan kadar faedah yang agresifnya.
Indeks dolar (DXY) dilihat mengendur sedikit ke sekitar 104.40 mata dari ketinggian 2 bulan yang menghampiri 104.60 sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS kekal berlegar di paras 4.25% yang merupakan paras tertinggi dicapai sejak Julai.
Tumpuan pasaran pada sesi New York semalam adalah kepada keputusan mesyuarat polisi bank pusat Kanada yang telah memberi kesan penyusutan terhadap mata wang Loonie.
Bank of Canada (BOC) menepati ramalan untuk meneruskan pemotongan kadar bagi kali keempat mesyuarat berturut-turut, tetapi kali ini lebih agresif dengan pemotongan 50 mata asas kadar faedah ke paras 3.75%.
Seterusnya, pada hari ini (Khamis) tumpuan akan terarah pula pada data-data PMI untuk menilai sektor pembuatan dan perkhidmatan di Eropah dan AS bagi bulan Oktober.
Angka ramalan bagi data terbaru dijangka tidak menunjukkan banyak perubahan berbanding bulan sebelumnya.
Dengan pengukuhan berterusan US dolar ketika ini, mata wang utama yang lain terus catatkan kejatuhan ke paras terendah terbaru lagi minggu ini termasuk mata wang Eropah Euro dan Pound, mata wang komoditi dolar Aussie, dolar New Zealand dan lain-lain.
Namun pelabur perlu berwaspada memerhati sebarang perkembangan terbaru yang boleh mempengaruhi sentimen pasaran seperti situasi di Timur Tengah dan stimulus China, sekaligus turut boleh mengubah arah pergerakan harga untuk mata wang utama.