Laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) telah menggegarkan pasaran pada penutupan dagangan di penghujung minggu lepas.
Angka yang diterbitkan pada bacaan bagi bulan Julai itu catatkan angka yang lebih buruk berbanding apa yang diramalkan oleh pasaran.
Pertambahan pekerjaan merosot kepada hanya 114,000 pertambahan sahaja berbanding jangkaan 176,000 sementara purata pendapatan per jam turut catatkan penurunan kepada 0.2% berbanding ramalan untuk kekal pada 0.3%.
Manakala lebih membimbangkan lagi apabila kadar pengangguran yang dijangka kekal di paras tinggi pada 4.1% itu malah meningkat lagi ke paras 4.3%, tertinggi sejak Oktober 2021.
Keseluruhan laporan bagi Julai itu jelas menunjukkan sektor buruh di Amerika sedang mengalami tekanan sekaligus semakin menguatkan lagi jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) bakak melaksanakan pemotongan kadar faedah mereka pada September.
Malah penganalisis mula menjangkakan pelonggaran dasar yang lebih agresif dengan pilihan pemotongan kadar sebanyak 50 mata asas.
Justeru itu, pelabur dapat menyaksikan kesan langsung ke atas pergerakan mata wang US dolar yang alami penyusutan pada dagangan sesi terakhir minggu tersebut.
Indeks dolar telah jatuh ke paras terendah 20 minggu mencecah sekitar 103.10 mata sementara hasil perbendaharaan 10 tahun AS adalah terendah sejak Julai 2023 di sekitar 3.73%.
Tumpuan di awal minggu akan terarah kepada data tinjauan PMI perkhidmatan AS yang akan diterbitkan di sesi New York selepas pada minggu lalu pelabur menyaksikan data tinjauan untuk sektor pembuatan yang merosot.