Pasaran kembali menyaksikan pengukuhan semula mata wang US dolar yang disokong oleh nada hawkish pada butiran minit mesyuarat FOMC yang diteliti pada awal pagi tadi.
Seperti yang disampaikan oleh Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell sebelum ini, dasar monetari yang ketat masih perlu dikekalkan untuk tempoh lebih lama dan pandangan tersebut turut dipersetujui oleh kebanyakan ahli-ahli FOMC yang lain.
Walaupun polisi dijangka untuk dikekalkan, namun butiran minit turut mengandungi perbincangan terhadap potensi untuk langkah kenaikan kadar faedah jika keadaan memerlukan.
Penganalisis menilai minit mesyuarat yang diterbitkan telah mengecewakan laporan inflasi Amerika Syarikat (AS) sebelum ini yang mula meningkatkan harapan untuk langkah pemotongan kadar faedah untuk dilakukan.
Namun, Fed dikatakan masih terbuka untuk melaksanakan langkah pelonggaran dasar itu yang dijangkakan akan bermula pada September.
Antara yang menjadi tumpuan pada dagangan Rabu semalam adalah mesyuarat polisi bank pusat New Zealand (RBNZ) yang menyaksikan kadar faedah dikekalkan di paras 5.50% seperti yang dijangka.
Namun, ucapan susulan yang disampaikan oleh Gabenor Adrian Orr adalah bernada dovish dengan beliau menyatakan bank pusat boleh beralih kepada dasar longgar walaupun inflasi masih belum capai sasaran 2%.
Dolar New Zealand melonjak dahulu pada awal keputusan kadar faedah diumumkan namun kembali melemah setelah pasaran menilai kenyataan oleh gabenor itu.
Di sesi Eropah semalam pula, data inflasi UK yang diterbitkan mencuri pasaran dengan penurunan angka yang agak besar dari paras 3.2% sebelum ini kepada 2.3%, namun tidak mencapai jangkaan 2.1%.
Penurunan ketara inflasi di UK dilihat selari dengan persediaan bank pusat England (BOE) yang bakal beralih kepada pelonggaran dasar seperti yang dimaklumkan pada mesyuarat terbaru tempoh hari.
Selepas data inflasi UK menjadi tumpuan semalam, hari ini pasaran akan memberi perhatian pula kepada data-data PMI sektor pembuatan dan perkhidmatan untuk Eropah dan AS.