US dolar melonjak kukuh pada penutup sesi dagangan penghujung minggu lalu ketika tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) untuk Januari 2024.
Meneliti laporan, pertambahan pekerjaan pada Januari meningkat 353,000, jauh lebih tinggi berbanding ramalan 187,000.
Purata pendapatan per jam meningkat 0.6% daripada 0.4% sebelum ini manakala kadar pengangguran kekal di paras 3.7% berbanding jangkaan untuk meningkat kepada 3.8%.
Secara keseluruhan, sektor buruh di Amerika kekal menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan menyusuli prestasi positif pada penghujung 2023 lalu.
Situasi ini sekaligus mencetuskan spekulasi berkenaan langkah penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) selepas Pengerusi Jerome Powell pada mesyuarat FOMC sebelum ini menyatakan bank pusat akan meneliti pekerjaan sebagai petunjuk seterusnya.
Dengan bacaan yang positif itu, peratusan jangkaan untuk ‘cut-rates’ oleh Fed adalah semakin rendah.
US dolar telah melonjak ke paras tertinggi 7 minggu susulan reaksi terhadap data tersebut dan dijangka akan meneruskan momentum itu di awal minggu ini.
Namun, terdapat sebahagian pandangan kecil di antara para penganalisis bahawa situasi yang berlaku ke atas US dolar ketika ini adalah berkemungkinan pembetulan harga sebelum penurunan kadar faedah bakal berlaku nanti.
Pastinya minggu ini akan menambahkan tekanan terhadap mata wang utama yang lain berikutan jangkaan ‘King dolar’ akan terus mendominasi.
Perkembangan pasaran komoditi, harga emas bagi kedua-dua penanda aras WTI dan Brent masing-masing catatkan kejatuhan ketara sehingga ke penutup dagangan penghujung minggu lalu.
Manakala emas dilihat gagal untuk kekalkan corak peningkatan nilainya apabila impak data NFP telah melihatkan harga emas menjunam semula ke sekitar zon $2,030.