Memulakan dagangan pada awal minggu semalam, US dolar memaparkan corak pengukuhan untuk mengubah pergerakan suramnya pada penutup November di minggu yang lepas.
Penganalisis melihat ini adalah pengukuhan terbaik US dolar pada hari Isnin dalam tempoh 6 bulan.
Situasi pasaran telah dipengaruhi oleh laporan berkenaan pengumuman tarif 100% oleh Donald Trump ke atas negara-negara BRICS dan seangkatan dengannya yang berpaling dari US dolar.
Ini menjadi ugutan lebih keras oleh bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) itu selepas sebelum ini memberi amaran untuk mengenakan tarif 25% ke atas Kanada dan Mexico selain menambah 10% tarif ke atas China.
Turut menyokong pengukuhan US dolar di sesi New York semalam apabila data tinjauan ISM bagi sektor pembuatan AS catatkan angka yang meningkat mengatasi ramalan dan bulan sebelumnya.
Walaupun belum mencapai paras 50 mata yang menunjukkan pengembangan pada sektor tersebut, namun angka 48.4 mata untuk November itu menunjukkan peningkatan positif dari Oktober pada 46.5.
Berkenaan dasar monetari bank pusat pula, pasaran pada minggu ini akan meneliti beberapa komponen data pekerjaan AS menjelang mesyuarat FOMC terakhir tahun ini dalam beberapa minggu lagi.
Pastinya tumpuan utama akan terarah kepada laporan pekerjaan NFP AS di penghujung minggu untuk Federal Reserve (Fed) menilai kesihatan sektor buruh yang boleh mempengaruhi keputusan polisi monetari.
Sebelum itu, tumpuan akan terarah dahulu kepada data JOLTS yang akan mengira jumlah tawaran pekerjaan yang dibuka di Amerika pada Oktober lalu.
Angka ramalan adalah lebih baik berbanding penurunan yang dicatatkan pada bacaan bulan sebelumnya.
Selepas gagal untuk memanfaatkan situasi penyusutan US dolar sebelum ini, mata wang utama lain dalam pasaran mula menunjukkan kejatuhan semula seawal pembukaan Disember bermula.
Euro ketara alami penyusutan nilai di samping isu pergolakan politik yang sedang melanda Eropah ketika ini khususnya Perancis.
Selain itu juga, ahli majlis European Central Bank (ECB) Martins Kazaks menyatakan sokongannya untuk bank pusat melanjutkan pemotongan kadar faedah zon Eropah itu yang melihat isu inflasi bakal selesai.
Mata wang lain juga menunjukkan corak yang sama kecuali Yen yang masih stabil meneruskan pengukuhan berbanding US dolar ketika jangkaan untuk Bank of Japan (BOJ) bakal menaikkan kadar faedah pada mesyuarat Disember.