Selepas laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada penghujung minggu lalu dihadam, pasaran pada awal minggu ini mula dilanda ketakutan akibat kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi global.
Jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) menurunkan kadar faedah pada mesyuarat September, malah penganalisis mula melihat pemotongan kadar yang lebih agresif bakal dilaksanakan.
Malah ada yang berpendapat, situasi panik dalam pasaran ketika ini akan mendesak Fed untuk mengadakan mesyuarat kecemasan, seperti yang pernah terjadi ketika situasi Covid-19 dahulu.
US dolar alami penyusutan berterusan di awal minggu dengan jangkaan untuk Fed sedang beralih kepada pelonggaran dasar monetari mereka.
Namun, perlu diingatkan bahawa situasi sentimen risk-off pasaran turut boleh memberi kelebihan kepada US dolar sebagai mata wang safe-haven.
Pelabur akan bertindak untuk menjual pegangan aset-aset yang dimiliki untuk menyimpan tunai sebagai persediaan pada tempoh kecemasan.
Kebimbangan terhadap risiko kemelesetan global itu juga turut mengheret jatuh pasaran kewangan yang lain termasuk saham, komoditi dan kripto.
Majoriti pelabur mengambil langkah berwaspada dengan berundur keluar dari pasaran untuk mengelakkan risiko kerugian yang lebih besar.
Saham syarikat-syarikat gergasi dunia juga dilaporkan alami kemerosotan yang ‘menakutkan’ membuatkan pelabur akan lebih berhati-hati pada minggu ini.
Meneliti data ekonomi, PMI perkhidmatan AS tinjauan ISM yang diterbitkan pada sesi New York semalam menepati ramalan untuk berada di atas paras 50 mata bagi bulan Julai, menunjukkan pemulihan daripada penguncupan bulan sebelumnya.
Sementara tumpuan pasaran pada Selasa adalah terhadap keputusan mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) yang dijangka akan mengekalkan kadar faedah di paras 4.35%.