Tumpuan pada sesi New York Khamis semalam terarah kepada terbitan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang menjadi agenda utama pasaran minggu ini.
Bacaan indeks harga pengguna (CPI) terbaru bagi bulan September itu telah mengundang reaksi bercampur dalam pasaran, begitu juga terhadap pergerakan mata wang US dolar.
Meneliti data, inflasi tahunan AS pada September menurun ke paras 2.4% berbanding 2.5% dari bulan sebelumnya, menunjukkan trend penurunan inflasi masih diteruskan.
Penurunan untuk 6 bulan berturut-turut itu mencecah ke paras terendah terbaru sejak Februari 2021.
Namun, angka tersebut tidak mencapai sasaran pasaran yang menjangkakan inflasi terbaru untuk turun kepada 2.3%.
Inflasi bulanan pula kekal tidak berubah dengan peningkatan 0.2% berbanding ramalan untuk turun kepada 0.1%.
Inflasi teras mengejutkan pasaran apabila bacaan tahunan meningkat kepada 3.3%, mengatasi ramalan untuk kekal di paras 3.2% seperti bulan sebelumnya.
Sementara inflasi teras bulanan kekal di paras 0.3%, tidak menepati ramalan untuk menurun kepada 0.2%.
Susulan data tersebut diterbitkan, US dolar menunjukkan pergerakan yang bercampur di awal sesi New York, namun kemudiannya mula menunjukkan pengukuhan menuju ke dagangan penghujung sesi.
Jika dinilai pada bacaan inflasi terbaru berserta laporan pekerjaan NFP yang telah diterbitkan minggu sebelum ini, pasaran berkemungkinan melihat agak sukar untuk Federal Reserve (Fed) meneruskan langkah pelonggaran dasar yang agresif seperti sebelum ini.
Namun, pemotongan kadar faedah kecil masih lagi dijangka untuk dilaksanakan untuk baki mesyuarat di penghujung 2024 ini.