Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kembali diagihkan secara berperingkat mulai hari ini.
Melalui perkongsian di laman Facebook beliau, Anwar berkata program SARA telah ditambah baik dengan peruntukan naik lima kali ganda kepada RM700 juta berbanding RM130 juta pada tahun lepas.
Katanya lagi, peruntukan yang lebih besar membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima SARA kepada 700,000 daripada 210,000 sebelum ini.
Jumlah bantuan juga dinaikkan sehingga RM1,200 iaitu seganda jumlah daripada tahun lalu.
Pelaksanaan SARA akan bermula hari ini bagi penerima di Semenanjung dan penyaluran tunai untuk penerima Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan bermula pada 19 Februari nanti.
Bantuan Sara kepada penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan serta RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari dan 12 Ogos melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.
Selain itu, penggunaan kredit program Sara akan diperluaskan kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat. Penambahbaikan program SARA merupakan langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti yang disebut dalam kerangka Ekonomi MADANI.
Kerajaan juga akan mengumumkan lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan lain bagi mengangkat ekonomi golongan rentas dan menjunjung prinsip kesaksamaan.