Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS hari ini setelah melepasi paras 4.63 yang merupakan posisi pada awal Januari 2024 hasil dorongan oleh keyakinan yang meningkat terhadap pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat.
Jam 10.30 pagi, ringgit berada pada nilai 4.6380 iaitu kekal bertahan pada posisi semasa dibuka pada hari Selasa dagangan Asia.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata ringgit menunjukkan arah aliran positif apabila jangkaan penurunan kadar AS mendapat momentum.
Katanya lagi, trend positif ringgit telah membawa kepada prospek perbezaan kadar faedah yang lebih rendah antara kadar dana Fed (5.50%) dan kadar dasar semalaman Malaysia (3.00%) iaitu pada perbezaan sebanyak 2.50%.
Julat USD/MYR mampu bertahan sekitar RM4.63 hingga RM4.64 kerana pasaran kekalkan kedudukan tunggu dan lihat menjelang keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan. Ringgit dijangka akan teruskan aliran lebih tinggi kerana posisi terkini masih berdaya tahan.
Mata wang tempatan itu juga sasar pada posisi RM4.50 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun.
Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 5.0115/0191 daripada 5.0225/0252 pada penutup semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0129/0177 berbanding 3.0158/0176 sebelumnya.
Bagaimanapun, ia susut berbanding pound British kepada 5.9562/9652 daripada 5.9472/9504.
Berbanding mata wang Asean, ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4492/4547 daripada 3.4499/4521 semalam, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8723/8993 daripada 12.8947/9063 sebelumnya.
Mata wang tempatan dibuka hampir rata berbanding rupiah Indonesia pada 284.5/285.1 daripada 284.6/284.9 pada penutup semalam dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.92/7.93. – Bernama