Ringgit Malaysia (RM) dibuka rendah berbanding dolar AS berikutan pengukuhan DXY. Namun, ia sedikit meningkat berbanding mata wang utama dunia lain.
Tepat jam 10.20 pagi tadi, ringgit susut sedikit dengan berada pada paras 4.6980 berbanding dolar AS daripada ia ditutup 4.6890 pada penutup Selasa.
Menurut pandangan Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata Indeks Dolar AS meningkat 0.1% kepada 104.606 mata berikutan laporan Indeks Keyakinan Pengguna Amerika Syarikat (AS) meningkat lebih daripada jangkaan kepada 103 mata pada Mei.
Selain itu, Presiden Fed Minneapolis Neel Kashkari membayangkan bahawa pendirian mereka masih kekal untuk mengehadkan dasar monetari dan kemungkinan kenaikan kadar faedah boleh berlaku jika keadaan mendesak.
Oleh itu, ringgit akan diniagakan dengan berhati-hati kerana peserta pasaran menantikan tolok inflasi yang menjadi dorongan Fed pada hari Jumaat.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding yen Jepun pada 2.9841/9865 daripada penutup semalam pada 2.9876/9890, meningkat berbanding euro kepada 5.0956/0994 daripada 5.1002/1024 pada Selasa dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9888/9933 daripada 5.9897/9923 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang Asean.
Mata wang tempatan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4801/4829 daripada 3.4785/4802 pada penutup Selasa, turun berbanding baht Thailand kepada 12.8096/8240 daripada 12.7975/8089 semalam dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 291.8/292.2 daripada 291.3/291.6 sebelumnya.
Sebaliknya, ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.08/8.09 daripada 8.09/8.10 semalam. – Bernama