Ringgit dilihat stabil pada posisinya berbanding dolar AS pada sesi pagi dan didagangkan agak bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang lain menjelang keputusan data inflasi Malaysia.
Jam 10.30 pagi, ringgit susut pada 4.6730 berbanding USD daripada penutupan Selasa pada 4.6720.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata Indeks Harga Pengguna (CPI) Malaysia akan dipantau dengan teliti memandangkan kesan kenaikan harga diesel pada 10 Jun akan mencerminkan siri data akan datang.
Katanya lagi, ringgit juga dijangka raih sokongan dengan baik memandangkan jangkaan penurunan kadar AS terus meningkat.
Laporan angka pasaran bon AS meramalkan pelonggaran monetari oleh Federal Reserve (Fed) akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.
Sementara itu, mata wang tempatan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan lebih rendah berbanding yen Jepun pada 2.9978/3.001 daripada 2.9958/9976 pada penutupan Selasa, meningkat berbanding pound Britain kepada 6.0269/0333 daripada 6.0320/0352 dan bertambah baik berbanding euro kepada 5.0691/0745 daripada 5.0771/0798 semalam.
Ringgit juga bercampur-campur berbanding mata wang Asean dan hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia serta peso Filipina.
Unit domestik meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.4713/4753 daripada 3.4731/3752 pada Selasa tetapi jatuh berbanding baht Thailand pada 12.9196/9392 berbanding 12.9004/9116 semalam.
Ia tidak berubah berbanding rupiah Indonesia, pada 288.1/288.5 daripada 288.1/288.4 dan berbanding peso Filipina pada 7.99/8.01 daripada 7.99/8.00 Selasa. – Bernama