Nilai ringgit dijangka akan didagangkan secara berhati-hati pada minggu ini disebabkan para pelabur menantikan beberapa data ekonomi penting yang mampu memberi kesan besar pada pasaran.
Tepat jam 9 pagi tadi, ringgit naik ke paras 4.6470 berbanding mata wang dolar AS daripada ia ditutup pada 4.6455 pada minggu lepas.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Afzanizam Rashid berkata pasaran kini lebih memperhatikan data angka keluaran dalam negara kasar bagi suku keempat 2023 China, Indeks Harga Pengguna (CPI) UK dan Kesatuan Eropah pada Rabu ini.
Katanya lagi, laporan CPI AS baru-baru ini yang lebih tinggi daripada jangkaan menyebabkan para pelabur menilai semula jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) pada Mac nanti.
Selain itu, konflik Timur Tengah yang berterusan di Laut Merah boleh mengakibatkan harga minyak mentah melonjak tinggi dan boleh memberi kesan inflasi kepada pasaran global.
Konflik itu telah mengakibatkan penurunan trafik sebanyak 20% berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana kebanyakan kapal komersial perlu mengambil jalan jauh untuk mengelak kawasan serangan.
Ringgit dijangka akan berlegar-legar dalam julat sempit sekitar RM4.64 hingga RM4.65 berbanding dolar AS pada minggu ini.
Walau bagaimanapun, ringgit dibuka tinggi berbanding beberapa mata wang utama dunia. Ia mengukuh berbanding mata wang euro kepada 5.0903 dan pound Britain kepada 5.9189 daripada nilainya pada penutup minggu lepas. Namun, ringgit sedikit tergelincir berbanding Yen Jepun sekitar paras 3.2024.
Ringgit dilihat kurang gah berbanding beberapa kumpulan mata wang Asean. Walaupun ia kukuh berbanding mata wang dolar Singapura, ia turut lemah berbanding rupiah Indonesia, baht Thailand dan peso Filipina pada pembukaan dagangan pagi tadi.