Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut apabila mata wang gergasi itu menyambung pengukuhannya berikutan data jualan runcit Amerika Syarikat yang kukuh untuk bulan Mac.
Selain itu, ia juga menyusut di tengah-tengah ketegangan Timur Tengah serta jangkaan Federal Reserve (Fed) dalam mengekalkan kadar faedah lebih lama yang mendorong pengukuhan dolar AS.
Tepat jam 9.20 pagi tadi, mata wang tempatan susut kepada 4.7885 berbanding USD daripada ia ditutup pada 4.7785 semalam.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata data AS terus menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang teguh dengan jualan runcit pada Mac meningkat lebih daripada jangkaan kepada 0.7% yang mengatasi ramalam konsensus sebanyak 0.4%.
Pasaran telah meletakkan kebarangkalian lebih rendah untuk berlakunya pemotongan kadar faedah pada tahun ini dan akan terus memberi sokongan kepada dolar AS. Indeks Dolar AS (DXY) mencapai 106.209 mata daripada hanya 100 mata pada akhir 2023.
Ringgit berkemungkinan kekalkan kecenderungan yang semakin lemah berbanding USD seiring dengan jangkaan kadar faedah di Amerika Syarikat.
Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro kepada 5.0820/5.0847 daripada 5.0915/5.0947 pada penutup Isnin, naik berbanding yen Jepun kepada 3.1026/3.1044 daripada 3.1053/3.1075 semalam dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.9165/5.9547 daripada 5.9660/5.9697.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia lebih tinggi berbanding baht Thailand pada 12.9872/12.9982 berbanding 13.0148/13.0286 pada penutup Isnin, menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.5063/3.5083 daripada 3.5123/3.5148 dan meningkat berbanding peso Filipina daripada 8.41/8.42.
Bagaimanapun, mata wang tempatan susut nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 302.1/302.4 daripada 301.4/301.8 sebelumnya.