Ringgit terus bergerak cemerlang pada awal dagangan Khamis hasil manfaat daripada kesan limpahan pelabur asing dalam bursa tempatan.
Pada jam 10.15 pagi, ringgit berada pada posisi 4.3320 iaitu kukuh 0.30% berbanding dolar AS daripada ia ditutup 4.3425 pada hari Rabu.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata minat pelabur asing yang teguh dalam pasaran modal tempatan telah mendorong peningkatan permintaan terhadap ringgit.
Rali kenaikan tinggi dalam FBM KLCI pada hari Rabu ditutup menghampiri paras tertinggi 45 bulan pada 1,675.24.
Katanya lagi, peserta pasaran akan memantau dengan teliti data ekonomi AS khususnya inflasi Indeks Harga Perbelanjaan Pengguna Peribadi (PCE) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) AS untuk suku kedua 2024.
Pasaran melihat pasaran USD/MYR mungkin akan bergerak ke arah sokongan 4.3000 walaupun potensi aktiviti pengambilan untung boleh berlaku dalam masa terdekat.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dan mata wang Asean.
Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0035/3.0106 daripada 3.0096/3.0122 pada hari Rabu, meningkat berbanding euro kepada 4.8261/4.8373 daripada 4.8362/4.8401 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7233/5.7365 daripada 5.7233/5.7365
Berbanding mata wang Asean, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3281/3.3360 daripada 3.3337/3.3367 pada penutup Rabu dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7367/12.7739 daripada 12.7709/12.7865.
Ia juga naik lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.74 daripada 7.72/7.73 pada hari Rabu dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 281.2/282.1 daripada 281.5/281.9.