Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS berikutan aktiviti pengambilan untung selepas mata wang tempatan itu mencapai paras terbaik tahunan serta keputusan FOMC Amerika Syarikat yang laksanakan pemotongan kadar faedah sebanyak 50 mata asas.
Pada jam 10.30 pagi, ringgit berada pada posisi 4.2650 iaitu susut 0.54% berbanding USD daripada ia ditutup 4.2410 pada dagangan Rabu.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata mesyuarat FOMC pada awal pagi tadi telah memutuskan Fed untuk laksanakan pemotongan kadar faedah agresif kepada 4.75% hingga 5.00% berbanding sebelumnya.
Walau bagaimanapun, keputusan itu tidak mendapat sokongan penuh kesemua ahli mesyuarat dengan seorang pegawainya berpendirian untuk kekalkan pemotongan sederhana sebanyak 25 mata asas.
Namun, kesemua pegawainya bersetuju untuk segera lakukan pelonggaran dasar monetari pada mesyuarat tersebut.
Ramai penganalisis meyakini bahawa ringgit mempunyai potensi untuk meningkat pada masa akan datang.
Sementara itu, ringgit didagangkan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding pound kepada 5.6003, melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.9717 dan juga naik berbanding euro kepada 4.7148.
Sementara itu, ringgit didagangkan agak bercampur-campur berbanding mata wang rakan rantau Asean.
Ia kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2724 dan juga berbanding baht Thailand kepada 12.6994.
Namun, mata wang tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.61 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 276.6. – Bernama