Nilai ringgit dilihat teruskan penjunamannya ke paras atas 4.6400 berbanding dolar AS daripada ia ditutup semalam. Pasaran kini meletakkan harapan yang tinggi kepada Federal Reserve (Fed) berkenaan jangkaan untuk lakukan pemotongan kadar faedah yang akan memberi sedikit nafas buat mata wang tempatan itu.
Data ekonomi AS, laporan perubahan pekerjaan Pemprosesan Data Automatik (ADP) yang baru dikeluarkan menunjukkan bahawa pasaran buruh di AS masih berdaya tahan pada jumlah 164,000 pekerjaan baharu yang diwujudkan dalam sektor swasta pada Disember berbanding jangkaan pasaran iaitu sebanyak 115,000.
Sementara itu, tuntutan pengangguran awal pula turun kepada 202,000 minggu lepas daripada 220,000 sebelumnya. Sentimen yang lemah mampu menghalang jangkaan pasaran berkenaan pemotongan kadar faedah oleh Fed dan menyaksikan nilai mata wang ringgit melanjutkan penurunannya.
Ringgit memulakan hari ini dengan dibuka pada paras 4.6420/4.6480 berbanding dolar AS, turun daripada penutup semalam iaitu 4.6330/4.6370.
Nilai mata wang ringgit yang merosot juga disebabkan oleh berlakunya peningkatan pada Perbendaharaan AS pada dua dan 10 tahun yang menyaksikan kenaikan sebanyak enam hingga lapan mata asas untuk ditutup masing-masing pada 4.38% dan 4%.
Buat masa sekarang, para pelabur perlu menumpukan perhatian mereka pada laporan data Pekerjaan NFP dan laporan Kadar Pengangguran di AS pada jam 9.30 malam ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. Ia bertambah baik berbanding pound Britain kepada 5.8907/5.8983 daripada 5.8964/5.9015 semalam dan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2054/3.2097 daripada 3.2185/3.2215.
Unit tempatan itu juga susut berbanding euro kepada 5.0835/5.0900 daripada 5.0634/5.0694 semalam.
Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean.
Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4921/3.4968 daripada 3.4903/3.4936 pada penutup semalam dan susut nilai berbanding peso Filipina kepada 8.36/8.37 daripada 8.33/8.34.
Mata wang tempatan lebih rendah berbanding rupiah Indonesia pada 299.6/300.1 daripada 299.0/299.4, tetapi ia meningkat berbanding baht Thailand pada 13.4236/13.4487 daripada 13.4500/13.4687.