Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS berikutan peserta pasaran menantikan beberapa data ekonomi penting Amerika Syarikat bakal diterbitkan minggu ini untuk menilai kesihatan sektor buruh.
Tepat jam 10.15 pagi, ringgit berada pada paras 4.3730 iaitu susut 0.53% berbanding USD daripada ia ditutup pada 4.3550 hari Isnin.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata aktiviti pengambilan untung sedang berlaku besar-besaran berikutan kenaikan mendadak nilai ringgit baru-baru ini.
Kemungkinan pemotongan kadar faedah di Amerika Syarikat pada September dijangka terus meningkat kerana Federal Reserve (Fed) berada di landasan untuk memulakan kitaran pelonggaran dasar monetarinya.
Katanya lagi, USD/MYR akan kekal mendatar hari ini berikutan peniaga menunggu data penting yang akan diumumkan pada minggu ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.9622/9699 daripada 2.9688/9725 pada Isnin, tinggi berbanding euro kepada 4.8121/8242 daripada 4.8197/8252 dan mengukuh berbanding pound kepada 5.7144/7288 daripada 5.7203/7269 sebelum ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang Asean.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3266/3352 daripada 3.3321/3361 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.7183/7583 daripada 12.7228/7429 sebelum ini.
Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.73 daripada 7.72/7.73 semalam, bagaimanapun hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 280.0/280.9 daripada 280.4/280.9. – Bernama