Pergerakan pasaran awal minggu sehingga ke sesi New York pada Selasa semalam dilihat masih lagi bercampur-campur dengan data-data ekonomi terbaru yang bakal diterbitkan akan terus diteliti.
Data PMI pada Isnin hadir dengan bacaan yang bercampur untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan, membuatkan pelabur berhati-hati dengan jangkaan pergerakan harga yang tak menentu.
Data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) menjadi tumpuan pada sesi New York semalam dengan laporan bulanan bagi November menunjukkan angka yang meningkat kepada 0.7% mengatasi ramalan 0.6%.
Peningkatan data telah dipengaruhi oleh kerancakan perbelanjaan pengguna pada musim cuti perayaan.
US dolar dilihat masih stabil menunjukkan pengukuhan ke atas beberapa mata wang utama, namun pelabur kekal berwaspada menjelang mesyuarat FOMC terbaru pada awal pagi Khamis nanti.
Dengan bacaan jualan runcit itu juga, Federal Reserve (Fed) dilihat akan melaksanakan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas untuk mesyuarat terakhir 2024 ini.
Turut diterbitkan pada awal sesi New York semalam adalah data indeks harga pengguna (CPI) Kanada yang menyaksikan kadar inflasi bulanan pada November di paras sifar 0.0% berbanding ramalan 0.1%.
Selari dengan langkah pelonggaran dasar yang masih giat dilaksanakan oleh Bank of Canada (BOC), mata wang Loonie juga semakin terperosok jatuh mencecah paras terendah terbaru 4 tahun.
Di sesi Eropah sebelum itu, laporan data pekerjaan UK telah memberi kesan positif terhadap pergerakan mata wang Pound.
Komponen-komponen data pada laporan terbaru itu semakin mengurangkan kerugian yang dialami Pound pada minggu lepas.
Mata wang Britain itu akan terus berdepan gelora pada hari ini (Rabu) dengan data tumpuan bank pusat bakal diterbitkan pada sesi Eropah iaitu laporan inflasi UK sebelum tumpuan beralih kepada mesyuarat polisi Bank of England (BOE) pada Khamis.