Menjelang pembentangan Bajet 2025 yang semakin hampir, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyuarakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan kos dan persaingan yang semakin sengit di kalangan peniaga-peniaga.
Walaupun ekonomi Malaysia dilihat terus berkembang, banyak peniaga daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih berdepan cabaran yang menghalang mereka daripada meraih keuntungan yang lebih baik.
Antara cabaran yang dihadapi peniaga-peniaga termasuklah seperti kos pengeluaran, gaji dan sewa yang tinggi, serta kekurangan tenaga kerja.
Pada 8 Oktober lalu, Presiden Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong, menyeru kerajaan agar mengekalkan subsidi bahan api serta meningkatkan geran pendigitalan bagi membantu peniaga mengadaptasi teknologi baru.
Beliau turut mencadangkan peningkatan geran pembangunan pasaran daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk membantu peniaga kecil ini berkembang ke pasaran global.
Sementara itu, Presiden SAMENTA, William Ng, menegaskan bahawa keperluan untuk pematuhan invois elektronik dan piawaian kelestarian (ESG), semakin membebankan peniaga.
Beliau mendesak kerajaan untuk tidak memperkenalkan cukai baru dan memberi lebih banyak sokongan kepada penerapan teknologi AI, inovasi, dalam usaha pengembangan ke luar negara.
Ng juga mencadangkan pinjaman faedah rendah serta peningkatan dana untuk program latihan industri, bagi membantu peniaga terus berdaya saing.
Kedua-dua persatuan berharap Bajet 2025 akan menyediakan bantuan yang diperlukan untuk memastikan PKS kekal mampan dan kompetitif di pasaran yang semakin mencabar.