Pelabur masih lagi dilihat dalam mod berjaga-jaga untuk minggu pertama Januari 2024 bagi pembukaan awal dagangan tahun yang baru ini.
US dolar dilihat kukuh pada awal minggu sebelum pergerakan dalam pasaran mula bercelaru sehingga laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) diterbitkan pada Jumaat lalu.
Meneliti butiran pada komponen data pekerjaan, pertambahan pada bulan Disember 2023 adalah kukuh sebanyak 216,000 mengatasi ramalan 168,000 dan juga bulan sebelumnya yang dikemaskini menurun kepada 173,000.
Kadar pengangguran yang diramalkan meningkat kepada 3.8% pula kekal di paras 3.7% manakala purata pendapatan per jam di AS kekal pada 0.4% berbanding ramalan untuk turun kepada 0.3%.
Ketiga-tiga bacaan data yang ‘hijau’ itu telah memberi kesan pengukuhan awal terhadap US dolar sebaik sahaja data diterbitkan, namun menuju ke penghujung sesi, US dolar kembali paparkan penyusutan lebih ketara.
Tumpuan minggu ini akan beralih pula kepada data inflasi AS yang akan diterbitkan pada Khamis selain beberapa lagi data inflasi akan diterbitkan melibatkan Switzerland, Australia dan juga China.
Pelabur akan memberi perhatian kepada data inflasi AS ini yang akan menjadi petunjuk penting mencorakkan pergerakan pasaran di awal dagangan 2024.
Jika inflasi AS juga meningkat menyusuli bacaan positif pada data pekerjaan, perubahan pada jangkaan penetapan dasar monetari oleh Federal Reserve (Fed) boleh tercetus.
Sebelum ini, majoriti pasaran melihat Fed bakal beralih ke arah fasa pelonggaran selepas kenaikan kadar faedah telah dihentikan.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah paparkan peningkatan harga yang sederhana selepas kejatuhan ketara pada dagangan penutup 2023.
Dagangan emas pula paparkan penyusutan nilai pada pembukaan 2024 sebelum pergerakan drastik pada penghujung minggu lalu dipengaruhi oleh data NFP yang diterbitkan.
Harga emas berlegar perlahan di atas paras $2,040 pada pembukaan awal minggu ini.
Untuk minggu kedua ini, pelabur dijangka akan masih berwaspada memerhatikan petunjuk-petunjuk baru dalam pasaran untuk menentukan arah pergerakan yang lebih jelas.