Persidangan Bitcoin (BTC) 2024 yang bermula pada Khamis akhirnya berakhir pada hari Sabtu dengan beberapa sorotan menarik apabila calon Presiden Republikan Donald Trump rancang memecat Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Gary Gensler pada hari pertamanya memegang jawatan.
Trump seterusnya menggambarkan BTC sebagai teknologi menakjubkan yang mempamerkan lambang kerjasama dan pencapaian dan beliau juga membidas Naib Presiden Kamala Harris yang memanggilnya radikal.
Selain itu, calon Presiden Robert F. Kennedy Jr (RFK) pula menggariskan rancangannya bagi AS sekiranya beliau memenangi pilihan raya di mana beliau ingin ubah cara AS melihat BTC malah menandatangani beberapa perintah eksekutif yang bertujuan menyepadukan BTC ke dalam strategi ekonomi AS.
RFK menekankan beliau akan mengarahkan Jabatan Kehakiman dan Marsyal AS untuk memindahkan kira-kira 200,000 rizab BTC yang dipegang oleh kerajaan kepada Perbendaharaan AS, tetapi rancangan itu malangnya mendapat kritikan daripada Peter Schiff.
Semasa Persidangan BTC, firma perkhidmatan kewangan global Cantor Fitzgerald mendedahkan pelancaran bahagian pembiayaan BTC akan memberi leverage kepada pelabur yang memegang aset tersebut.
Pendedahannya bertujuan mempamerkan sokongan penuh penyedia perkhidmatan kewangan bagi ekosistem kripto dengan mencerminkan peningkatan permintaan untuk produk berkaitan aset digital di kalangan pelabur institusi.
Suka dimaklumkan pengasas MicroStrategy yang berkongsi ramalan jangka panjangnya bagi BTC telah menjangkakan kadar pertumbuhan tahunannya mungkin perlahan daripada 55% kepada 20% menjelang 2045 yang akhirnya akan memacu kenaikan harganya ke $13 juta seunit.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 0.87% pada paras $68,704 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $1.3 trilion seterusnya mencatatkan kenaikan 1.18% sepanjang minggu lepas.