Ekoran pelaksanaan subsidi diesel pada Jun lalu, hampir 3,500 pengusaha stesen minyak di semenanjung mengalami kerugian yang mencapai RM181 Juta.
Menurut setiausaha Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), dipercayai punca kerugian tersebut adalah disebabkan pengusaha harus membeli minyak dengan harga yang mahal dan menjual dengan harga yang murah.
Kebanyakan stesen minyak terpaksa mencari alternatif lain seperti memberi fokus terhadap penjualan barangan runcit di kedai serbaneka bagi menampung kos operasi stesen minyak.
Dilaporkan hampir 98.3% stesen minyak harus menampung kerugian yang boleh menyebabkan kesan negatif terhadap ekonomi dari segi kadar pengangguran dan pengurangan hasil cukai kerajaan.
Setakat ini ada juga pengusaha yang telah memendekkan waktu operasi mereka dan ada juga yang terpaksa mempertimbangkan pengurangan pekerja sebagai langkah terakhir.
Setiausaha Bumipeda menggesa kerajaan untuk mengkaji semula margin keuntungan pengusaha stesen dan melaraskan komisen bagi menampung kos semasa.
Selain itu, kerajaan juga disarankan mengkaji Mekanisme Penentuan Harga Automatik (APM), yang digunakan sejak 1983 agar lebih relevan dengan keadaan ekonomi semasa.