Kerajaan Malaysia dan Johor memutuskan untuk tidak menyemak semula harga air mentah yang dijual kepada Singapura buat masa ini, menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Nasir.
Keputusan ini dicapai selepas perbincangan pada Oktober bersama Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
Perjanjian Sungai Johor 1962 menetapkan harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah yang dijual kepada Singapura, yang kemudiannya menjual semula air terawat kepada Johor pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.
Johor kini menggunakan purata 16 juta gelen air terawat setiap hari daripada Singapura, melebihi had perjanjian sebanyak 5 juta gelen.
Ini menyebabkan kos tambahan sekitar RM180,000 setahun yang mencetuskan perdebatan sama ada langkah ini wajar diteruskan.
Bagi mengurangkan kebergantungan, Johor telah melancarkan inisiatif Zero Dependency untuk mencapai kendiri air menjelang 2030 merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu dan penambahbaikan infrastruktur sungai.
Namun, pertumbuhan pesat sektor industri seperti semikonduktor dan pusat data menjadi cabaran besar.
Dengan isu kos, kebergantungan, dan pembangunan infrastruktur di atas meja, Johor kini berada di persimpangan antara kebergantungan semasa dan usaha mencapai kendiri air sepenuhnya.
Adakah Zero Dependency mampu menjadi penyelesaian jangka panjang, atau adakah perjanjian ini akan terus mendominasi?