Mengimbas pasaran kewangan pada minggu lalu, US dolar pamerkan prestasi merosot sehingga ke penghujung minggu apabila terkesan oleh data ekonomi terbaru yang menunjukkan Amerika Syarikat (AS) berada dalam risiko.
Petunjuk terhadap inflasi, indeks harga pengguna (CPI) telah susut ke paras lebih rendah berbanding ramalan dan meningkatkan peratusan jangkaan untuk langkah pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) pada September ini.
Walaupun data indeks harga pengeluar (PPI) yang diterbitkan pada Jumaat catatkan angka yang sedikit baik, namun tetap gagal untuk memulihkan US dolar.
Sebaliknya raja mata wang itu kekal meneruskan corak penyusutan sehingga ke penghujung sesi dagangan terakhir minggu itu.
Mengejutkan pasaran pada hujung minggu, dilaporkan bekas Presiden AS, Donald Trump nyaris terbunuh apabila beberapa das tembakan telah dilepaskan ke arahnya ketika sedang berkempen.
Dalam keadaan cemas itu, pegawai perkhidmatan rahsia AS bergegas melindungi beliau dan kelihatan Trump bangun semula sambil memegang telinga kanannya yang berdarah terkena tembakan.
Berikutan insiden itu, US dolar dibuka lebih tinggi pada awal dagangan minggu ini dengan peningkatan terhadap mata wang safe-haven itu.
Selain itu, pelabur akan berwaspada juga terhadap situasi campur tangan di Jepun yang menyaksikan pengukuhan ketara Yen telah berlaku dan sekaligus turut memberi kesan terhadap US dolar.
Yen dilihat kembali pulih selepas kejatuhan terburuk nilainya berbanding US dolar sejak tahun 1986 hampiri ke sekitar paras ¥162.00.
Beberapa data tumpuan ekonomi akan diperhatikan pada minggu ini selain keputusan mesyuarat dasar monetari European Central Bank (ECB) akan mencuri tumpuan.