Memulakan dagangan pada pembukaan awal minggu semalam, US dolar dilihat masih lagi belum menunjukkan arah pergerakan yang jelas.
Penganalisis menjangkakan pergerakan yang bercampur oleh US dolar ketika dagangan sedang menghampiri penutup bagi bulan Oktober.
Meneliti indikator tumpuan buat US dolar, indeks dolar (DXY) sedikit berundur ke sekitar 104.300 mata dari ketinggian yang menghampiri 104.600 sebelumnya.
Sementara, hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) pula masih berlegar di ketinggian baru sekitar paras 4.30% yang berjaya dicapai.
Ketiadaan data ekonomi utama yang diterbitkan pada Isnin juga turut gagal memacu pergerakan mata wang utama khususnya US dolar.
Pada hari ini (Selasa), tumpuan akan terarah kepada data keyakinan pengguna di Amerika yang meninjau 3,000 isi rumah untuk menilai situasi perbelanjaan dan aktiviti ekonomi semasa.
Turut akan diterbitkan bersama adalah data JOLTS yang menjadi perhatian Federal Reserve (Fed) untuk penetapan dasar monetari mereka.
Komponen pekerjaan ini akan mengira jumlah tawaran pekerjaan yang dibuka pada bulan September dengan angka ramalan sedikit rendah berbanding sebelumnya.
Ini akan menjadi komponen data pekerjaan yang pertama akan diperhatikan Fed sebelum menyusul data ADP pada Rabu dan di penghujung minggu pula, tumpuan utama terarah kepada laporan pekerjaan NFP untuk Oktober.
Data pertumbuhan ekonomi AS juga akan diperhatikan pada Rabu untuk menilai bacaan awal pertumbuhan suku ketiga 2024.