Sentimen pulih pasaran menuju dagangan penghujung minggu dilihat menjadi salah satu faktor yang membantutkan pengukuhan US dolar yang telah dipamerkan di awal minggu.
US dolar telah kembali susut dari paras tertinggi hampir 3 bulan yang dicapai sebelum ini sementara pelabur kekal berhati-hati menjelang terbitan data ekonomi China.
Tambahan, pasaran turut memerhatikan pandangan oleh beberapa ahli FOMC yang merasakan keperluan untuk mempercepatkan pelonggaran dasar monetari di Amerika selepas ini, namun buat ketika ini dasar sedia ada dilihat akan dikekalkan sementara data-data terbaru terus dinilai.
Walau bagaimanapun, penganalisis pasaran masih menjangkakan US dolar bakal kembali mengukuh semula berdasarkan data-data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan dengan bacaan memberangsangkan.
Para pelabur juga dilihat mengalihkan unjuran untuk langkah pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) pada Mei berbanding ramalan Mac sebelum ini.
Penjualan besaran US dolar telah menyaksikan indeks dolar (DXY) susut semula ke paras sokongan 104.00 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS berlegar di sekitar paras 4.10% setelah kenaikan yang dipaparkan sebelum ini masih belum lepasi 4.20%.
Susulan situasi pergerakan lemah US dolar kekal berterusan, kebanyakan mata wang utama lain dalam pasaran terutamanya Euro, Pound dan beberapa mata wang Asia.
Tumpuan pasaran pada sesi Asia pagi ini terarah kepada data ekonomi China yang mempengaruhi sentimen pasaran global.
Data inflasi pengguna (CPI) tahunan China catat bacaan yang lebih buruk dari ramalan iaitu penguncupan kepada -0.8% berbanding ramalan -0.5%.
Turut diterbitkan bersama data inflasi pengeluar (PPI) yang mencatatkan penguncupan kepada -2.5% untuk Januari.
Pasaran akan menghadam seketika data yang diterbitkan itu sebelum menunjukkan impak terhadap pergerakan semasa harga.
Perkembangan pasaran komodit, harga minyak mentah Brent dan WTI meningkat perlahan ketika pergolakan di Timur Tengah masih dipantau.
Sementara, dagangan emas bergerak dalam julat kecil namun masih kekal bertahan di atas zon harga $2,030 menuju ke penghujung minggu ini.