US dolar tersungkur jatuh semalam, ketara melemah di sesi New York susulan reaksi terhadap data petunjuk inflasi Amerika Syarikat (AS) yang telah diterbitkan.
Bacaan indeks harga pengguna (CPI) untuk bulan Jun catatkan penurunan ke paras 3.0% berbanding ramalan 3.1%, lebih rendah berbanding bulan sebelumnya pada 3.3%.
Ini merupakan pasaran inflasi paling rendah yang dicecah semula sejak Jun 2023 walaupun masih lagi belum mencapai sasaran 2% bank pusat.
Situasi ini telah meningkatkan kecenderungan jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) bakal bersedia untuk melaksanakan pemotongan kadar faedah seawal September nanti.
Ini menyusuli isyarat terbaru pada nada Pengerusi Fed Jerome Powell pada testimoni minggu ini yang menyatakan bank pusat semakin hampir untuk melaksanakan pemotongan kadar faedah namun perlu memerhatikan dahulu penurunan inflasi.
Jangkaan peralihan dasar monetari Fed kepada pelonggaran dasar itu telah memberi kesan kejatuhan nilai US dolar.
Dagangan sesi terakhir untuk minggu ini akan memerhatikan data inflasi pengeluar (PPI) yang akan diterbitkan.
Turut menjadi tumpuan pada dagangan Khamis semalam adalah situasi pergerakan Yen yang juga mengejutkan pasaran.
Pengukuhan ketara Yen mencetuskan kembali spekulasi campur tangan pihak berkuasa Jepun dalam pasaran.
Yen kukuh berbanding US dolar ke paras 158.00 semula selepas kejatuhan berterusan sebelum ini menghampiri 162.00.
Menuju dagangan ke penghujung minggu, mata wang utama lain dalam pasaran dilihat mempunyai ruang untuk meningkatkan nilai masing-masing dengan kecenderungan untuk US dolar kekal lemah.
Dagangan emas juga terima tempias positif dengan lonjakan harga logam kuning itu melepasi paras $2,400 berikutan situasi penyusutan US dolar tersebut.