US dolar dilihat masih mengekalkan momentum positif pada dagangan Selasa semalam menyusuli pengukuhan yang diteruskan pada pembukaan awal minggu.
Situasi bermula pada penutup dagangan minggu lalu ketika laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) untuk bulan Ogos hadir dengan bacaan yang agak baik.
Ini telah mengurangkan jangkaan terhadap pelonggaran dasar yang agresif oleh Federal Reserve (Fed) dan pasaran menjangkakan pemotongan kadar faedah hanya sebanyak 25 mata asas untuk mesyuarat September.
Penganalisis telah menjangkakan perubahan pada jangkaan tersebut akan memberi kelebihan terhadap dagangan US dolar untuk memulih, namun pelabur perlu berwaspada menjelang data penting pada minggu ini pula.
Petunjuk seterusnya terarah kepada data indeks harga pengguna (CPI) AS yang akan diterbitkan pada sesi New York malam ini (Rabu).
Pergerakan tak menentu pasaran akan dijangkakan menjelang mesyuarat FOMC yang semakin hampir ketika pelabur menantikan pemotongan kadar faedah pertama bakal dilaksanakan Fed dalam tempoh lebih 4 tahun ini.
Berdasarkan indikator CME FedWatch, peratusan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas adalah pada 66%, manakala 34% untuk pemotongan 50 mata asas.
US dolar mengekalkan tekanan terhadap mata wang utama lain dalam pasaran dengan mata wang Eropah, Euro dan Pound susut lebih rendah berbanding paras dagangan minggu lalu.
Tekanan akan terus meningkat buat Euro menjelang mesyuarat polisi European Central Bank (ECB) pada Khamis ini dengan jangkaan pemotongan kadar faedah agresif sehingga 60 mata asas.
Dolar Aussie berlegar di paras terendah 4 minggu sementara dolar Kanada antara mata wang dengan prestasi tercorot terkesan oleh isu kemerosotan pasaran minyak mentah selain data pekerjaan Kanada yang lemah diterbitkan minggu lalu.
Yen dilihat gagal mengekalkan prestasi cemerlang sebelum ini berbanding US dolar dengan pemulihan raja mata wang itu.