Ketidaktentuan politik di Eropah yang dilihat sedikit mereda telah memulihkan sentimen pasaran global membuatkan US dolar turut melemah sejak semalam sebagai status mata wang safe-haven.
Mata wang Euro pula pulih dari paras terendah 1 bulan namun pasaran masih dalam keadaan berwaspada terhadap risiko yang masih boleh tercetus semula di Eropah itu.
Pada sesi New York malam ini, tumpuan akan terarah kepada terbitan data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang akan menjadi pemacu seterusnya bagi pergerakan US dolar.
Namun sebelum itu, pasaran akan memberi tumpuan terlebih dahulu terhadap keputusan mesyuarat polisi bank pusat Australia pada sesi Asia hari ini.
Reserve Bank of Australia (RBA) dijangka akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 4.35% seperti sebelum ini.
Kali terakhir kadar faedah dinaikkan oleh RBA adalah pada mesyuarat November tahun lalu.
Pada Khamis pula, mesyuarat polisi Swiss National Bank (SNB) dan Bank of England (BOE) akan diperhatikan dengan kedua-dua bank pusat dijangka akan turut mengekalkan kadar faedah tidak berubah.
Selain itu, pasaran akan turut memerhatikan nada ucapan oleh pegawai-pegawai Fed pada minggu ini untuk menilai jangkaan penetapan dasar monetari bank pusat itu.
Isyarat hawkish yang dikekalkan oleh Pengerusi Jerome Powell pada minggu lalu telah mengurangkan jangkaan terhadap langkah pemotongan kadar faedah sekaligus dilihat memberi kelebihan terhadap dagangan US dolar dalam tempoh terdekat ini.
Walaupun mata wang utama lain dilihat paparkan pergerakan positif di awal minggu, namun penganalisis memberi amaran untuk pengukuhan US dolar yang boleh tercetus semula dan kembali memberi tekanan kepada mata wang utama.